My Blog List

Wednesday 9 October 2013

Tunggakkan Cukai Tanah Cecah RM21 Juta: MB Tegur Rakyat Kelantan






Tunggakkan Cukai Tanah Cecah RM21 Juta: MB Tegur Rakyat Kelantan

KOTA BHARU 9 Okt - Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hari ini menegur rakyat Kelantan kerana liat menjelaskan cukai tanah yang kini tunggakannya mencecah RM21 juta.
   
Beliau berkata sikap mereka amat dikesali kerana sukar membayar cukai namun mudah membeli rokok.
   
"Harga rokok naik lebih RM10 boleh dibeli, tetapi cukai tanah yang dibayar untuk tempoh setahun sekali sukar untuk menjelaskannya," katanya ketika menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
  
Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan Negeri berkata, kerajaan negeri menubuhkan dua jawatankuasa bertindak bagi mengutip tunggakan itu termasuk berbincang dengan pemilik tanah.
   
Beliau berkata pemilik tanah yang terbabit dengan hakisan pantai diminta menukar status tanah kerana tanah yang terhakis menjadi lautan tidak dikenakan cukai tanah.
 
Sementara itu, persidangan dewan turut dimaklumkan bahawa pelaksanaan fasa pertama pembinaan projek tebatan banjir di Rantau Panjang membabitkan RM300 juta dijangka bermula pada tahun depan.
   
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Hanifa Ahmad berkata Jabatan Pengairan dan Saliran telah menyiapkan tender projek itu dan sedang menunggu kelulusan kewangan.
   
Beliau berkata terdapat tiga komponen dalam pembinaan fasa pertama itu iaitu membina batas banjir, membina laluan air dan lencongan air Sungai Golok daripada
menenggelamkan Rantau Panjang.
   
"Jumlah keseluruhan pembinaan tebatan banjir itu dianggarkan berharga RM1.3 bilion yang meliputi tiga fasa sepanjang 50 kilometer dari Tumpat sehingga Rantau Panjang," katanya ketika menjawab soalan Muhamad Awang (PAS-Gual Periuk). 

No comments:

Post a Comment