My Blog List

Sunday 6 October 2013

Shabery Sokong Debat 6 Calon Naib Presiden UMNO









Shabery Sokong Debat 6 Calon Naib Presiden UMNO



KUALA LUMPUR 7 Okt - Penyandang Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek  mengalu-alukan cadangan supaya diadakan perbahasan serentak di kalangan keenam-enam calon Naib Presiden yang akan bertanding pada pemilihan Umno 19 Okt ini.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, ia perlu dibuat dalam bentuk forum yang membenarkan setiap calon mengemukakan pandangan masing-masing.

"Pihak Kementerian sudah mengatur program bual bicara di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BernamaTV untuk semua calon naib presiden itu mengemukakan pandangan.

Bercakap kepada BernamaTV dari Cannes, Perancis, Ahmad Shabery yang berada di sana untuk mengetuai delegasi industri filem negara, berkata RTM akan menampilkan calon-calon itu secara serentak.

Bagi BernamaTV pula, ia akan menyiarkan perbahasan itu bermula 10 malam untuk dua malam berturut-turut, 15 dan 16 Oktober.

Ia didahului dengan tiga pencabar iaitu Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dan bekas ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Pada malam berikutnya, giliran ketiga-tiga penyandang jawatan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Ahmad Shabery berkata BernamaTV, yang juga penyiar rasmi pemilihan UMNO 2013, telah mengadakan lintas langsung dan bual bicara serta  program bual bicara sejak 21 September lepas ketika majlis penyerahan borang oleh calon.

BernamaTV kini menyiarkan dua program iaitu Ruang Bicara dan Bicara Calon masing-masing selama satu jam dan setengah jam pada 10 malam dan 11 malam setiap hari. Temuramah termasuk calon ketua ketiga-tiga sayap.

Ruang Bicara menampilkan calon ketiga-tiga sayap, Pemuda, Wanita dan Puteri dan calon Majlis Tertinggi, diadakan setiap hari mulai 30 September.

Ia menampilkan dua atau tiga tetamu yang ditanya mengenai topik tertentu berkaitan politik, isu semasa dan ekonomi.

Program Bicara Calon pula memberi peluang kepada calon-calon ketiga-tiga sayap untuk  mengemukakan pandangan masing-masing apa yang mereka akan lakukan jika terpilih nanti.

Setakat ini sebanyak enam episod Ruang bicara telah disiarkan selain tiga episod Bicara Calon.

Kedua-dua program itu akan disiarkan sehingga hari pemilihan ketiga-tiga sayap parti pada 12 Oktober dan pemilihan majlis tertinggi pada 19 Oktober.

BernamaTV juga akan menyiarkan secara langsung proses pengundian di dua UMNO bahagian pada 12 dan 19 Oktober.

Ahmad Shabery juga menasihati calon-calon sayap parti supaya datang ke pejabat BernamaTV untuk merakam pandangan mereka.

BernamaTV dan RTM juga akan menjemput Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibual bicara pada 17 dan 18 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment